Friday 30 July 2021

Pengurusan sisa pepejal di Malaysia

Pengenalan:

Lambakan penghasilan sisa pepejal telah menjadi satu bebanan besar kepada alam sekitar khususnya di kawasan bandar. 

[2]  Kadar penjanaan sampah harian dalam kalangan rakyat di Malaysia telah menunjukkan pertambahan sebanyak 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada 2005. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), seorang rakyat dianggarkan menghasilkan 1.17 kilogram (kg) sampah sehari pada 2018, berbanding 0.8kg pada 2005. 

[1] Kadar penjanaan sisa pepejal dianggarkan terus meningkat seiring pertambahan populasi penduduk. [3] Berdasarkan laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama 2021 di Malaysia, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta pada suku pertama 2021, kadar populasi meningkat 0.4 peratus daripada 32.62 juta bagi tempoh sama pada 2020.

Pertambahan kadar populasi akan menyumbang kepada pertambahan penghasilan sisa pepejal secara tidak langsung dan [1] ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara.

Isu sebenar mengenai pengurusan sisa pepejal di Malaysia:-

1. Kos pengurusan sampah yang dikeluarkan oleh kerajaan amat tinggi

  •  [1] Kos pengurusan sampah bagi tujuh negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur; Johor; Melaka; Negeri Sembilan; Pahang; Kedah dan Perlis di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mencecah RM2 bilion setiap tahun.
  • Skop pengurusan sampah meliputi tiga kategori perkhidmatan iaitu kutipan, pengangkutan dan pelupusan. 
  • Kos operasi mahal terutamanya pelupusan mengunakan kaedah rawatan termal seperti loji insinerator atau menggunakan kaedah pelupusan seperti tapak pelupusan sanitari.

2. Kekurangan tanah untuk tapak pelupusan
  • [1] Jangka hayat sesebuah tapak pelupusan adalah 20 hingga 25 tahun bergantung kepada keluasan tanah tersebut. Tanah yang dijadikan tapak pelupusan tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau projek kerana ia perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun untuk menyingkirkan kesan pencemaran air larutan serapan (leachate) dan gas berbahaya.
  • [1] Pembangunan terutamanya di kawasan bandar semakin pesat menyukarkan proses mendapatkan tanah sesuai dijadikan kawasan pelupusan sampah kerana masyarakat tidak mahu ia terletak berhampiran kawasan rumah.
  • [1] Bagi kawasan pesat membangun, tanah kosong yang ada hanya di kawasan tadahan air dan hutan simpan yang tidak disesuai untuk dijadikan sebagai tapak pelupusan. 

3. Kesedaran yang kurang mendalam berkaitan pengurusan sisa pepejal dalam kalangan rakyat Malaysia
  • [2] Peratusan sisa plastik direkodkan meningkat 20 peratus pada 2018, berbanding 44.5 peratus daripada keseluruhan sampah adalah sisa makanan, manakala sisa plastik (13.2 peratus) dan lampin pakai buang (12.1 peratus), pada 2005.
  • Masyarakat tidak memberi perhatian kepada isu pengurusan sisa pepejal seolah-olah ini bukan tanggungjawab mereka bersama dan tidak mengendahkan untuk mengasingkan sisa buangan.
  • [1] Penjanaan sampah boleh dikurangkan jika masyarakat mengamalkan cara pembuangan sampah dengan betul termasuk menjadikan pengasingan sisa daripada punca sebagai amalan dan mempraktikkan kitar semula.

4. Kelemahan penguatkuasaan serta pemantauan daripada pihak yang bertanggungjawab

  • Sebagai contoh, pembuangan kertas dan botol minuman merata-rata telah meningkatkan kos pembersihan dan pelupusan sampah. Sewajarnya tong-tong sekitar semula diletakkan di banyak tempat khususnya di bangunan-bangunan pejabat, restoran dan pusat komersil untuk pembuangan kertas, botol dan tin aluminium.
  • Langkah tersebut membolehkan bahan-bahan tersebut diproses dan dikeluarkan semula bagi tujuan penggunaan industri sekaligus dapat mengurang kos pembersihan dan pelupusan sisa pepejal.

Penutup:

[1] Jangan pandang ringan kepentingan amalan kitar semula kerana ia amat penting dan impaknya sangat besar kepada kehidupan seharian dan masa depan kita. Sekiranya sikap rakyat tidak diperbetulkan, negara akan menjadi longgokan sampah dan mendatangkan kesan yang teruk secara berperingkat terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

[2] Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama bekerjsama untuk merealisasikan agenda 'Malaysia Negara Bersih'. Semua pihak dan masyarakat yang terlibat dalam proses pengurusan sisa pepejal secara langsung atau tidak langsung perlu lebih peka terhadap isu penghasilan, pengasingan dan pembuangan sampah supaya kita tidak menjadi masyarakat yang rugi di muka bumi ini akibat daripada tangan kita sendiri.

Rujukan:

[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/574909/rakyat-malaysia-hasil-37890-tan-sisa-setiap-hari

[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/643354/pembuangan-sampah-negara-meningkat-10075-peratus

[3] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/821329/populasi-malaysia-3275-juta-pada-suku-pertama-2021